Monday, July 15

PROGRAM IFTAR JAMAIE & SOLAT TERAWIH SIRI 1

Program ini diadakan sempena bulan Ramadhan dan dikendalikan oleh Datin Norhana dan skuad Darul Fitrah. Program iftar dan terawih ini disertai seramai 150 orang. Antaranya ialah anak-anak yatim PERKAYA, saudara baru dan OKU. Tujuan program ini diadakan ialah untuk mengeratkan silaturrahim antara pihak Darul Fitrah dengan anak-anak yatim Darul Falah, saudara baru dan OKU. Selain itu, ia bertujuan untuk mencurahkan kasih sayang kami terhadap mereka kerana sepertimana kita mengetahui golongan seperti ini kurang dapat kasih sayang dari masyarakat setempat. Dan juga ia bertujuan untuk berkongsi nikmat Allah serta meringankan bebanan golongan yang kurang bernasib baik ini.

Para tetamu tiba ke Darul Fitrah tepat jam 6.30petang. Tetamu disambut meriah oleh pihak Darul Fitrah. Program ini dimulakan dengan majlis zikir pada jam 6.45 petang. Majlis zikir ini dikendalikan oleh saudara Muhammad. Majlis zikir ini berlangsung sebelum masuk waktu berbuka puasa. Diantara perantaraan satu zikir saudara Muhammad juga menyampaikan sedikit tazkirah tentang kelebihan zikir dan selawat dalam kehidupan kita seharian.

Apabila masuk waktu berbuka puasa, para tetamu dihidangkan dengan kuih-muih dan air mineral cawan untuk berbuka. Selepas itu, para tetamu bersiap untuk solat maghrib berjemaah dan solat maghrib diimami oleh Ustaz Azizi dari PERKAYA. Selesai solat maghrib, pihak Darul Fitrah menyediakan makanan berat untuk para tetamu menjamu selera iaitu nasi bariani, buah tembikai dan air sarsi. Para tetamu begitu berselera menikmati makanan yang disediakan oleh pihak Darul Fitrah. Setelah mengisi perut yang seharian berpuasa, para tetamu kelihatan berehat kekenyangan seketika sementara menunggu masuknya waktu solat Isyak.

Apabila azan Isyak berkumandang, para tetamu bersiap sedia untuk menunaikan solat Isyak berjemaah yang diimami oleh Ustaz Sollahuddin. Dan diteruskan dengan solat terawih yang turut diimamkan oleh Ustaz Sollahuddin serta dibantu oleh anaknya sebagai bilal terawih. Selesai solat terawih, Ustaz Sollahuddin memberi tazkirah tentang kelebihan solat sunat terawih bagi malam ke8 dan seterusnya.

Sebelum para tetamu bersurai, Datin Norhana berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada tetamu yang hadir iaitu duit raya dan kurma saudara baru, anak-anak yatim PERKAYA dan orang kurang upaya (OKU). Majlis bersurai.








No comments:

Post a Comment